Make your own free website on Tripod.com
 

Sinopsis Arjuna Hati

NOVEL ini merupakan satu percubaan untuk menjelajah masalah dan pengalaman merentas budaya, bukan di kalangan penduduk Malaysia tetapi di antara orang Melayu dengan orang British. Yang lebih menarik peristiwa-peristiwanya berlaku di England pada Zaman Victorian dan negeri-negeri di Tanah Melayu iaitu melibatkan Pulau Pinang dan Perlis, ketika British masih dalam proses meluaskan pengaruhnya di kawasan ini.

Usaha perintis ini memberi harapan bahawa bidang novel di negara kita semakin berani menjalankan eksperimen supaya para pembaca akan terdedah kepada proses globalisasi. Sering kali novel lebih berjaya memperkaya pengalaman seseorang daripada buku sejarah kerana novel menembusi hati sanubari manusia, manakala sejarah yang biasa disampaikan secara amoral, terpencil dan tanpa emosi tidak dapat mewujudkan perspektif yang real.

Mudah-mudahan Norzailina Nordin akan memperkenalkan pula tema-tema lain yang akan membawa pembacanya ke dunia baru - lain daripada yang lazim mereka temui.
 

HARGA: RM14.00     HALAMAN: 416     PENULIS: Norzailina Nordin

 

Sinopsis Manisnya Cinta

APAKAH nilai sebuah cinta bagi seorang gadis berlesung pipit bernama Ifti Liyana?

Sejak bertahun-tahun, sayangnya pada Fredo tidak pernah melimpah. Nalurinya sentiasa menidakkan, benarkah mereka bercinta? Akhirnya, mereka kian jauh dan lelaki itu membawa haluan sendiri. Dia sendiri pasrah!

Namun, pandang pertamanya dengan Nazmi, memutikkan perasaan yang aneh. Lelaki itu yang sekejap ada dan hilang seperti menyeru-nyeru semangatnya. Dirinya ibarat mengejar bayang-bayang. Namun, keegoannya sering kali menepis kata hatinya. Tetapi bagaimana dengan rindu yang sarat ini?

Berbolak-balik rasa hatinya. Antara keinginan untuk menyayangi dengan rasa pesimis terhadap kejujuran seorang lelaki. Dalam benci ada rindu, dalam sayang dia jadi keliru, apakah Nazmi benar-benar setia pada yang satu?

Ah... sukarnya melafazkan kata maaf bila prasangka hampir meleburkan sebuah impian. Ifti Liyana akhirnya akur, cemburu buta dan hipokrit bukanlah sifat terpuji. Dia mengakui, Nazmi lelaki sejati yang diimpikan selama ini.
 

HARGA: RM17.00     HALAMAN: 480    PENULIS: Anis Ayuni

<< KEMBALI LE LAMAN UTAMA